Wednesday, August 27, 2008

Tak Perlu Bendera Kecil Di Kenderaan

Kelmarin aku memandu pulang dari Kuala Lipis ke Jerantut. Tengahari membosankan. Aku alergik pendingin hawa. Tapi cuaca panas keterlaluan. Aku harus sabar. Cuaca lembab lebih menakutkan kadang-kadang.

Di pertengahan jalan selisih bepuluh-puluh motorsikal. Hadapan sekali ada empat marshal. Mereka berkonvoi. Setiap motorsikal tercacak bendera Malaysia. Pelbagai saiz. Belakang sekali ada empat lagi marshal.

Acara istimewa sempena bulan merdeka barangkali. Jika tidak masakan begitu. Mereka tunggang biasa-biasa sahaja. Di antara mereka ada juga bikin aksi bahaya mengangkat tayar hadapan. Aku sepatutnya kagum. Tapi tidak.

Beberapa puluh meter di hadapan, tidaklah terlalu jauh, terlihat aku beberapa Jalur Gemilang bersaiz kecil. Bertaburan di muka aspal. Tak siapa juga berhenti dan kutip sebagai tanda sayang dan hormat. Semua kenderaan laju-laju. Tentulah termasuk aku.

Aku tidak pernah memasang bendera pada kenderaan. Tidak perlu. Namun bendera Malaysia selalu berkibar dalam hati. Aku tak punya tanah air lain selain ini. Kalau takdir tanahair ini dilanggar, di sinilah aku akan berkubu.

Mantan PM yang masih hidup itu ingin berhijrah ke luar negara jika mantan TPM yang menang semalam benar-benar jadi PM. Tapi aku tak punya pilihan. Namun aku sayang tanahair ini bukan kerana tiada pilihan.

Tuesday, August 26, 2008

Knocking On Heaven's Door

Ketika aku terus bergelut mahu belajar dan cuba membawa keluarga keluar dari labyrinth kemiskinan, sekitar rumah Mak aku ada dua orang jiran yang aneh. Memang semua manusia pun aneh. Tapi tak seaneh mereka. Mereka sama macam aku. Maksudku, orang Melayu beragama Islam. Biarlah aku menamakan mereka Pakcik A dan Pakcik B sahaja.

Apabila UMNO diharam dan lahir Semangat 46 yang bergabung bersama-sama PAS membentuk APU (Angkatan Perpaduan Ummah), Pakcik A sangat marah. Beliau memang anti PAS sejak sekian lama. Bagi beliau PAS adalah perosak bangsa dan Negara. Ketika itu beliau tak lagi makan tembikai bewarna kuning.

Pakcik B juga aneh. Jika hampir pilihanraya lebih anehlah sikapnya. Beliau lebih rela sembahyang Jumaat atau Hari Raya di kawasan lain jika Imamnya orang UMNO. Begitu juga dalam hal kenduri-kendara.

Tapi anak-anak mereka yang masih bersekolah tidak pula aneh. Mereka boleh berkawan dan bermain bersama-sama. Sama seperti kebiasaan kanak-kanak lain. Bergaduh dan berbaik kembali.

Mengapa fikiran mereka sebegitu? Sedangkan kehidupan mereka sama sahaja. Saban hari perlu bekerja mencari rezeki sendiri. Anwar Ibrahim atau Pak Lah tak pernah pula menghantar walau sekampit beras pun kepada mereka setiap minggu.

Hanya jarang-jarang dapatlah mereka makan percuma apabila ada juak-juak orang politik yang tabur sedikit umpan. Hanya itu sahaja?

Monday, August 25, 2008

Mempermain-mainkan Tuhan

Sekarang musim bermain bersumpah. Memohon laknat jika salah. Cabar orang lain beradu sumpah. Mengapa? Dengan bersumpah individu itu telah pun bersih dan dapat meyakinkan umum bahawa dia sangat benar?

Jika begitu mudah, bersumpahlah. Lagi pun selalunya Tuhan tak pernah menurunkan bala kepada si penyumpah itu sejurus ia dilafazkan. Tak pernah ada setahu aku. Kalau kisah Si Tenggang atau Malim Kundang bukan dongengan, barangkali hanya itulah peristiwa suatu sumpah termakbul sekelip mata. Itu pun ia doa seorang ibu yang sangat ikhlas.

Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Mereka fikir laknat Tuhan itu lambat. Mereka sempat bertaubat. Lalu Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun itu berasa belas. Segala laknat dan kehinaan akan sirna begitu saja. Nah, jika ia menguntungkan apa salahnya? Lagi pun bukankah ia tidak termasuk dalam senarai tujuh dosa besar?

Jika niat sumpah mereka itu baik baguslah. Tapi jika niat mereka yang bersumpah itu sangat jahat, mereka sebenarnya sedang mempermainkan Tuhan yang Maha Pembalas segala tipu daya itu. Mereka sangka ia lebih mudah dari mempermainkan manusia. Mereka silap besar.

Friday, August 22, 2008

Melontar Mata Ke Angkasa

Kalau tiba-tiba jadi kusut aku cepat-cepat keluar dan bersendiri. Menjauh dari sebarang sikap manusia seketika. Lontar saja mata ke angkasa. Langit memang perahsia. Entah apa yang tersimpan dalam diamnya. Bahasanya hanya guruh sesekali bersama-sama hujan serta angin keras terhambur dari rahangnya. Namun pernah juga tak lebih sekadar gertak guruh semata.

Tapi dalam kusut aku lebih senang dengan langit yang sedikit redup tapi cerah. Berangin peramah lagi tersenyum. Langit yang semacam membuka tempurung otakku. Semacam cuba membuat aku tambah percaya. Bahawa masih ada jalan keluar. Bahawa menanti satu noktah yang baik bagi setiap permainan hidup.

Penyair besar Yunani bernama Homerus itu pernah percaya wujudnya Dewa-dewa di langit. Jumlahnya sebanyak taburan bintang yang menjelma kala malam. Malah percaya pula adanya janakuasa besar di balik ribuan, atau mungkin jutaan dewa itu. Dewa Besar itu bernama Apollo.

Warna langit sebenarnya hitam. Itu bukan mitos. Namun apa sebenarnya yang bikin Homerus percaya di sana Apollo sedang menggerak segalanya?

Thursday, August 21, 2008

Menikmati Najis

Tadi aku kelaparan. Kerja menekan dan kebosanan. Aku ajak Shikin makan petang saja. Dan Ana mahu turut. Sudah tentu boleh sekali. Pasti ada rezeki untuk bersama kongsi. Ke kedai makan berhampiran kami tuju.
Aku dan Shikin pesan kue teaw goreng dan Ana kepingin mee goreng. Air barli membasah tekakku. Shikin pilih teh 'o' ais limau tapi yang sampai ais limau pula. Dia minum saja ais limau tanpa teh. Ana gadis melayu yang tipikal itu senang pada air sirap pula tadi. Kami makan macam biasa. Perut yang kelaparan tak membuka selera pula.
Di TV ada tayang drama Indon. Tadi kali pertama aku tonton. Tajuk 'Joko ke Negeri di Atas Awan'. Sungguh menyedihkan. Mematikan terus selera aku untuk makan dan menonton. Beberapa kerat pelanggan sunyi sepi. Termasuk kami. Cerita bangang! Aku jerit dalam hati.
Aku segera teringat tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam pojok 'Getaran Seni' Isnin lepas. Beliau menyentuh tentang konsert artis-artis Indonesia yang berlangsung secara besar-besaran baru-baru ini. Aku tahu. Tentu aku bersetuju bahawa negara aku telah jadi macam tong sampah!
Bukan muzik sahaja. Drama dan segala macam sisa kekotoran serta kebusukan telah pun masyarakat kita terima dengan senang hati. Barangkali di Indonesia drama sepert 'Joko ke Negeri di Atas Awan' itu bukan lagi sampah, tapi sudah jadi najis.


Tergamakkah kita menikmati najis?