Monday, December 21, 2009

Tak ada motivasi

Kalau ditanya mengapa seseorang itu menulis, akan ada pelbagai jawaban. Dan perbezaan jawaban itu juga tentulah bukan sesuatu yang aneh. Ada yang menulis kerana mahu popular, wang, kepuasan dan ramai juga yang menulis kerana ibadah – kerana Allah semata-mata. Itu terpulanglah kepada niat masing-masing.

Bagi aku yang agak segan untuk mengaku sebagai penulis ini, agak sukar juga untuk mencari sebab musabab sebenar aku ini menulis. Manusia seputar aku bukanlah manusia penulis dan kadang-kadang aku rasa apa yang aku tulis semuanya entah apa-apa juga. Demi itulah agak sukar untuk aku memikirkan di mana kedudukan sebagai seorang manusia penulis ketika ini.

Sepanjang dua tiga tahun ini tidak banyak tulisan yang dapat aku hasilkan melainkan entri-entri di blog yang tak lebih dari cakaran kosong, herdikan dan carut marut yang terbit dari rasa marah-marah, tidak puas hati, ego dan penuh pendapat dangkal. Selebihnya aku menulis sajak yang tidaklah seberapa, dan adalah sekadar empat buah sajak yang terbit di akhbar. Hanya itulah sahaja.

Kenapa hanya sajak? Mana satu penyajak yang boleh jadi kaya?

Aku pun tidak tahu kenapa genre itu sahaja yang paling aku suka ketika ini. Ada yang kata sajak ini produk manusia pemalas. Sehari boleh tulis ratus-ratus sajak kalau mahu. Aku pun tidaklah marah kepada yang kata begitu. Kerana aku memang tidak mampu untuk buat macam itu walaupun aku perajin. Cuma aku sibuk kerja buat duit dan kejar dunia. Sebab itu sajak aku tak banyak mana pun. Katalah apa saja.

Tetapi beberapa hari ini aku mula terpikir, atau lebih tepat lagi tertanya-tanya; apakah motivasi yang aku perlukan supaya lebih rajin dan dapat menulis dengan baik? Kalau boleh mampu hasilkan novel atau skrip filem. Pada hal aku bencikan motivasi. Sangat benci membuat sesuatu kerana sesuatu.

Apa yang aku mahu? Baiklah. Biarlah mulai hari ini aku letak wang di depan. Sebab kalau untuk jadi terkenal aku ini pemalu orangnya. Dan kalau aku jawab aku menulis kerana ibadah, kerana Allah, bunyinya macam aku mahu tunjuk mulia sangat. Ya, wang, wang dan wang…

Sebenarnya sewaktu aku menulis, aku menjadi sehelai daun yang gugur dan jatuh ke sungai. Kemudian aku hanyut begitu saja ke muara atau segara atau ke mana saja. Kalau aku berhenti terus, berhentilah aku. Kalau aku jalan terus, jalanlah aku. Sehingga aku jadi debu dan tak wujud lagi selepas itu.

Sunday, December 20, 2009

Selamat Kembali

Sudah setahun dan lapan hari aku tidak tulis apa-apa di sini. Asalnya malas. Kemudian aku lupa kata laluan. Blog ni tidak sekali dengan blog yang satu lagi itu. Ini kerana aku mula-mula mahu padam blog yang satu lagi itu. Tetapi entah mengapa aku tidak melakukannya pula.

Selamat membuka semula blog yang sudah bersawang ini. Janganlah malas-malas lagi. Apa nak jadi ni? Soal aku kepada diri sendiri.