Friday, December 12, 2008

Saudagar Mimpi

Hari yang kurang bagus. Terlalu banyak kerja. Hendak bernafas pun rasa tidak sempat. Kadang-kadang aku cuma dapat menulis satu atau dua mukasurat sahaja.

Membaca juga semakin kurang. Badan dan otak yang letih memang tidak mampu menghasilkan apa-apa produk kecuali tidur dan mimpi.

Tetapi mimpi kalau kita mampu lukis atau tulis, boleh jualkah?

Hari ini banyak janji-janji yang ditabur manusia tidak lebih dari sekadar mimpi sahaja. Harapan palsu. Dan berulang-ulang manusia yang bodoh tertipu gara-gara malas berfikir.

Mereka jual, kita beli. Sebab kita mahu. Sebab kita malas belajar walau ditimpa musibah berkali-kali. 15 tahun dahulu aku dan Madi tergamam bila lihat berita kondo runtuh. Hari ini aku tidak kisah lagi.

Mereka tidak belajar kejuruteraan tanah kah? Owh, ya. Seorang pengacara tivi cakap mari kita diskusikan dalam skop yang lebih luas bila seorang pemanggil bangkitkan soal agama dalam hal ini. Agama kita belum cukup luas eh?
HA HA

Monday, November 24, 2008

Ah, hujan!

Di luar hujan. Mencurah-curah dan bersepah di aspal. Merayap entah ke mana. Langkah seakan terhenti namun ada yang meredah.

Langit masih berat. Bagi yang tak punya waktu untuk apa lagi menunggu?

Ingat tak lagi peristiwa paling manis, dan paling pahit ketika hujan yang pernah alami?

Kita kadang-kadang jarang merakam makna hujan -- selain romantis dan sedih semata-mata. Hujan itu mungkin bermaksud 'nanti dulu'.

Thursday, November 20, 2008

Belum Ada Judul

Beberapa hari lepas aku mimpi di tahan ISA. Menakutkan. Iya, itu cuma mimpi. Tapi tetap mendebarkan jika kau lalui.

Tapi ISA rupanya macam asylum dalam mimpi aku itu. Seorang Doktor merawatku. Dan aku sembuh. Di tingkap, dari dalam kamar ternampak beberapa orang gila mundar mandir. Langsung tak melucukan.

“Bila keluar, apa perkara pertama awak nak lakukan?” Doktor tanya. Aku sudah sembuhkah? Bila masa doktor ini merawatku?

“Saya mahu tulis buku. Tentang doktor. Tentang tempat yang buruk ini.”

Memang tempat itu buruk benar-benar. Langsung tiada warna. Bukankah itu mimpi Cuma? Mimpi memang tak punya warna. Macam harapan tak kesampaian.

Bila sadar perut aku sangat lapar. Mata aku tak macam mata serigala liar. Di dinding cuma banyak tompokan darah nyamuk yang aku tampar setiap pagi bila terjaga. Antara catatan-catatan arwah ayah perihal belanja dapur dan pendapatan jualan getah sekerap saban minggu yang sangat sedikit hasilnya.

Tapi ayah sudah enam tahun berpulang. Hutangnya sama Felda sudah langsai. Darah dan masin keringatnya menjalar ke seluruh dunia di hirup entah siapa-siapa.

Ah, dalam dunia ini memang banyak parasit rupanya.
Dan mata aku tak macam serigala liar!

Saturday, November 15, 2008

Selamat Mencabar Hidup!

Ekonomi sekarang memang mendebarkan. Setiap ia bagai pisau yang sedang diasah dan bakal menyembelih leher sebahagian dari kita. Menakutkan.
Dengan harga barangan yang saban hari kian melonjak, kos sara hidup seakan-akan enggan surut malah semakin menekan golongan marhaen ke lubuk lebih daif.

Di zaman serba tidak ketentuan ini, paling hantu ialah pengangguran. Semalam bos telah membuat keputusan untuk menamatkan khidmat beberapa orang pekerja. Gara-gara tidak mampu menanggung kos overhead. Mereka masih muda dan berkelulusan juga. Baharu sangat menikmati alam pekerjaan. Simpati.
Kata 'mereka' itu kepada para graduan; zaman sekarang jangan cari pekerjaan, tetapi perlu dicipta.
Mudahkah?


Career Opportunities - The Clash

Wednesday, October 29, 2008

Berpulangnya Seorang Hero Gitar

Jiwa manusia punya tiga sudut penting dalam menghubungkan dirinya dengan alam. Dan alam adalah lambang kebesaran Allah. Pertama perasaan, kedua fikiran dan ketiga kemahuan. Apabila perasaan yang melebihi, seseorang itu akan menjadi seniman. Dan jika fikiran yang melebihi, filsuf yang akan lahir. Tetapi jika kemahuan (iradat) yang menonjol, maka orang itu akan jadi pemimpin bangsa, atau ahli agama yang membawa faham baru. (Prof. Hamka: 26, 2003).

Mari kita mendapkan fikiran dan kemahuan ke bawah seketika. Angkat tinggi-tinggi perasaan kadang-kadang tidak menjadikan kita kurang bijak juga. Kesedihan, kemarahan dan berontakan adakala jadi monumen perasaan yang sangat indah bila dibina oleh seorang seniman. Lebih-lebih lagi jika ia dipahat menggunakan intrumen yang bukan lagi berbentuk vokal – lukisan, arca, ukiran atau muzik barangkali.

Sebagai manusia yang pernah melintas zaman remaja; tinggal, membesar dan bergaul di kalangan working class – muzik rock selalu jadi pengubat jiwa manusia yang tak pernah fikirkan masa depan seperti aku. Mengusung gitar tong ke hulu ke hilir, berpakain macam rockstar, jamming atau buatlah apa saja ‘janji rock’. Khutbah agama atau tazkirah ada kala lebih menjauhkan aku dari agama sahaja.

Awal 90an adalah era muzik grunge. Aku antara Generasi-X yang rata-ratanya seperti mahu menyembah Kurt Cobain sahaja. Zaman shredder atau guitar hero mula pudar. Malah lebih hina ada yang berkata ‘shred is dead’. Sudah jadi dinosaur. Kebanyakan lagu-lagu rock hanya penuh dengan riff-riff gitar tiga kord sahaja. Kalau ada solo pun macam main-main sahaja. Nirvana semacam mengambus terus zaman shredder.

Entah mengapa aku suka benar dengan gitar solo – termasuklah surf, blues mahu pun jazz. Nama-nama seperti Dick Dale, Jimi Hendrix, Malmsteen, Ritchie Blackmore, Gary Moore, Santana, Slash dan lain-lain hero gitar selalu membuat aku kagum. Kadang-kadang aku lebih menghafal bunyi gitar solo dan lirik vokal tak lebih sekadar penyendal sesebuah lagu. Begitulah uniknya gitar solo bagi aku.

Di Malaysia ada beratus, malah beribu mungkin gitaris. Tetapi tidak ramai hero gitar yang mampu menghasilkan solo-solo yang malar segar seperti Kid, Hillary Ang, Awang BPR, Opie Bloodshed, Abu MAY, Shahrul Ekamatra dan lain-lain gitaris zaman Rock Kapak 80an dan awal 90an dahulu. Solo-solo mereka sudah sampai ke tahap seperti boleh bercakap bagi aku. Dan sudah sudah tentulah kombinasi Man Keedal dan Allahyarham Samad dari Lefthanded tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Dengarkan ‘Kenangan Bersamamu’, ‘Debunga Wangi’, ‘Semangat Lamina’, ‘Lagenda Cinta’ dan apa juga lagu mereka – gitar sololah yang selalu menjadi latar depan. Mungkin harmoni guitar mereka tidak tersohor Marty Friedman dan Jason Becker dari Cacophony yang sangat-sangat guitar oriented itu, tetapi Lefthanded antara garisan paling tebal dalam lakaran Muzik Rock Malaysia. Dan Allahyarham Samad bagai garis halus yang menyempunakan keindahannya.

Jumaat lalu kita telah pun kehilangan Samad Lefthanded. Itu bukan urusan makhluk. Namun untuk sebuah perjalanan hidup yang tidak panjang, bukan seperti seorang politikus, Allahyarham telah meninggalkan suara perasaannya – yang jauh lebih jujur ketika menjentik kesunyian audien dengan petikan-petikan gitarnya. Ia rakaman suara hati seorang manusia yang ikhlas. Tuhan tahu tentang itu. Bukankah manusia yang baik lebih disayang Tuhan? Moga setiap budi dan bakti Allahyarham akan jadi sinar peneman di sisi-Nya. Allahyarham suatu lagenda dalam kelas tersendiri.

AL-FATIHAH.




SATU TIDUR PANJANG
Ramli Sarip/Bob Lokman

Di sini kita bersama
Di tanah lapang penuh cinta
Di sana aku menangis
Setelah engkau pergi

Mentari sampaikan cahaya
Pada kasih yang tertidur
Panjang
Setiap yang pergi itu
Pastikan ku turuti

Tenanglah kau di sana
Menanti pasti pulangku
Andai jujur cinta semalam
Bertemu lagi di tanah ini

Kematian hanya tidur panjang
Yang penuh dengan soalan
Semoga kejujuran cinta ini
Jadi keredaan Tuhan

Sesungguh rasa hatiku ini
Setiap cinta hanya kernamu
Restukan kasih suci ini
Tuhan…

Mentari di ufuk barat
Menambah tua hari ini
Setiap musim yang berganti
Akhirnyakan berhenti di sini

Wednesday, October 8, 2008

Selamat Hari Raya Dunia

Selamat Hari Raya Dunia
di palestin barangkali zionis sedang bersarapan pagi
menghirup darah panas anak-anak kecil
meratah daging mentah muslimin muslimah
menyimbah setiap inci tanah
dengan kencing dan najis.

Selamat Hari Raya Dunia
Iraq makin tenat
derita rakyatnya entah berapa kali lipat
roh Saddam entah apa khabarnya
pembunuhan adalah dinar dan dollar
buat Uncle Sam dan rakan-rakan.

Selamat Hari Raya Dunia
rabak sudah Afghanistan yang menyimpan
terroris berjanggut lebat
ancaman keamanan sejagat
simbol kejahatan maha dahsyat
monster ciptaan CIA.

Selamat Hari Raya Dunia
Thailand, Filipina, Afrika dan di mana-mana sahaja
saudara-saudaraku yang kelaparan tertindas
aku kirimkan doa dan harapan
agar maruah yang terampas
kembali ke pangkuan.

Selamat Hari Raya Dunia
dari Malaysia yang kenyang dan mewah
yang saban tahun dari dapur-dapur rumah terbukanya tercurah
bertan-tan gula berliter-liter air
berkilo-kilo daging berpingan-pingan nasi
ke longkang dan tong sampah!

Monday, September 22, 2008

Kadang-kadang Kita Memang Ada Rasa Tak Puas Hati

Hari ini hingar bingar orang cerita tentang keadilan. Kalau kita melepak di mana-mana – stesen bas ke, pekan sahari ke hatta ke majlis kenduri cukur jambul sekalipun, cuba-cubalah pasang telinga. Anda pasti terdengar perkataan keadilan.

Tapi tentang keadilan ini bukan cerita baru. Lama sejak zaman tori lagi manusia sudah sibuk-sibuk tentang keadilan. Tak ada yang pelik pun. Kalau orang sebut perkataan keadilan dalam mesyuarat JKKK tak ada pun orang akan juih-juih bibir atau pandang ke lain masa tu. Tapi kalau Tok Khatib sedang baca khutbah Jumaat anda jerit, “keadilan!” sampai 20 kali memang kalau tak kena penampar pun makmum lain akan senget-senget pandang anda.

Memang keadilan dan kesaksamaan harus dicari dan diletakkan di tempat yang betul. Tuhan itu sendiri pun Maha Adil sifatnya. Namun janganlah berharap sangat dengan keadilan manusia di dunia ini. Ia memang sukar untuk wujud. Malah tak akan pernah wujud secara mutlak. Mungkin ada. Tapi amat susah untuk ditegak dan dipelihara.

Anda tak percaya? Baiklah. Kita tunggu saja bila hampir tiba Hari Raya nanti. Masa tu memang ramai yang akan merasa dunia ini tidak adil. Malah mungkin kita juga antara manusia itu – yang bakal tertanya-tanya, terfikir-fikir atau tersuluh-suluh; di manakah keadilan dunia ini?

Entah-entah sekarang pun dah ada saudara mara kita yang rasa dunia ini memang tak adil langsung. Ye la, di saat-saat manusia lain ternganga-nganga menunggu bonus, kita tercangak-cangak cari alamat syarikat untuk hadir temuduga kerja. Kalau baru bergelar graduan tu tak apalah juga. Ini kalau setiap kali temuduga dapat sebiji bata, kumpul-kumpul dah boleh buat banglo apa cerita?

Bagi yang dah bekerja pula lain ceritanya. Orang lain pergi ofis boleh letak kaki atas meja. Guna jari sebatang saja tekan-tekan papan kekunci komputer. Silap-silap guna jari kaki saja, jari tangan kanan buat hisap rokok, tangan kiri korek-korek hidung. Tapi gaji tiga empat kali ganda kita. Yang kita pula dah la gaji ciput, jangan kata nak letak kaki atas meja, nak letak punggung atas tangga seminit saja dah kena kerah.

Itu di tempat kerja. Sekarang kita masuk ke rumah pula. Tak payahlah nak banding rumah kita dengan Datuk Yusuf Haslam pula. Banding dengan A Galak pun tak payah. Cari saja jiran sekampung. Nak mudah lagi jiran sebelah cukuplah. Lebih mudah. Mesti banyak yang kita mungkin tak puas hati. Jiran kita sibuk angkat sofa baru, kita sibuk angkut tikar mengkuang lama untuk basuh dan jemur. Jiran kita sibuk cat baru rumah dia, kita sibuk tampal-tampal dinding yang berlubang dengan surat khabar lama. Jiran kita sibuk gantung langsir baru, kita sibuk tutup pintu tingkap sebab tak sanggup nak tengok. Jadi di manakah keadilannya? Jawapan yang memuaskan mungkin tak ada. Namun cuba kita tanya dalam hati dan jawab sendiri. Tak perlulah tanya kuat-kuat. Nanti pelik pula orang lain.

Sebagai manusia biasa yang tak memahami konsekuensi dari setiap tindakan kita memang tak akan jumpa keadilan itu. Tapi pernahkah kita tanya, di masa-masa rakan sekerja kita tu berulang-alik ke perpustakaan ulangkaji pelajaran, kita berulang alik ke perpustakaan juga, tapi gunting buku dan curi buku. Dia saat orang lain sibuk kerja lebih masa, kita sibuk kerja lebih mulut. Di saat jiran kita sibuk melabur di tempat berfaedah, kita sibuk melebur ditempat tak berfaedah.

Tapi kalau kita bukan terdiri dari manusia yang tak sepertinya itu usahlah bersedih sangat juga. Kalau kita harapkan keadilan manusia dan dunia semata-mata memang susah nak jumpa. Tapi keadilan Tuhan itu tetap ada. Kasih sayang Tuhan tak terbatas. Kita teruskanlah kelangsungan hidup ini dengan rasa syukur.

Tentu saja Tuhan boleh jadikan semua manusia itu sama. Rupa dan tingkah laku sama. Sama-sesama samanya. Tak ada perbezaan hatta perbezaan jantina sekalipun. Boleh kalau Dia nak buat. Tapi tentu saja tak ‘seronok’!

Bayangkan kita semua sama. Lahir-lahir saja dah jadi raja. Kaya raya jangan cerita la. Beranak atas batu permata. Maklumlah raja katakan. Tapi tak pasal-pasal bapak kita yang bidankan kita. Ye la. Nenek kita pun permaisuri. Jiran kita pun raja. Hah, siapa nak jadi bidan?

Itu baru lahir. Dah banyak masalah. Belum lagi masuk tadika. Siapa la nak jadi cikgu tadika yang bergaji ciput tu. Nak makan nasi? Tak pasal-pasal kena tanam padi sendiri. Kalau sakit gigi cabut la sendiri. Tak adanya yang nak jadi doktor gigi dah.

Maka janganlah bersedih jika kita hanya penjual pisang goreng tepi jalan. Atau tukang sapu di lorong-lorong. Selagi kita tak engkar perintah Tuhan dan Rasul berbahagialah. Kita mungkin miskin harta tapi kaya jiwa. Kita mungkin dipandang mulia sangat tapi apalah ertinya pandangan dunia kalau Tuhan memalingkan wajah-Nya dari kita.

Mungkin kalau kita beria-ria sangat nak jadi Hakim kita akan jadi hakim yang senget sebelah. Kalau kita beria-ria sangat nak jadi Perdana menteri kita bakal jadi pemimpin yang korup. Kalau kita beria sangat nak jadi Model kita terpaksa jadi model seluar dalam.

Nah, bukankah di situ letaknya keagungan dan keadilan Tuhan yang menjadikan kita berbeza agama, bangsa, warna kulit dan bahasa. Miskin atau kaya, bersyukur dan peliharalah anugerah yang diberi-Nya tapi jangan pula menghina manusia lain pula. Semua adalah ujian dan tanggungjawab.

Tapi janganlah pula tiba-tiba sibuk-sibuk pergi buat sidang media canangkan satu dunia kita gembira nak mampus jadi orang miskin dengan pakai baju robak rabik tidur bawah jambatan. Memang nak kena gelak la tu kalau buat macam tu!