Thursday, December 16, 2010

Pembeli Buku Yang Berdosa

Ada beberapa novel yang belum saya baca. Pada hal novel-novel tersebut saya beli sejak awal-awal tahun ini lagi. Tentulah hal ini merugikan akan saya juga. Membeli sebuah buku dan tidak membacanya – saya anggap ia mengufurkan jiwa saya sendiri. Berlagak dengan menunjuk saya beli buku, tetapi tidak baca pula. Hipokrasi menebal di hati, bukan? Lainlah jika saya membeli buku sebagai hadiah untuk manusia-manusia lain. Mujur juga saya tidak menunjuk-nunjuk sangat akan buku-buku tersebut ‘Facebook’!

Tetapi begitulah saya ini. Seorang yang malas membaca sebenarnya. Kerana itulah mungkin tulisan-tulisan saya tidaklah menjadi sebanyak seperti penulis-penulis lain. Tidak produktif, kata orang moden. Dan tidaklah juga berkembang serta hebat. Tidak kompetitif, kata orang bisnes!

Saya sadar; menulis itu sebenarnya membaca. Kebanyakan penulis itu membaca. Kalau pun ada yang menulis tetapi tidak membaca, entahlah. Mungkin budak-budak baru masuk tadika yang baru belajar tulisan dan mengenal huruf. Akan tetapi itu bukan menulis – itu ‘meniru’!

Berbalik kepada novel-novel yang tidak terbaca tadi. Saya akan habiskan juga dalam masa terdekat. Mungkin ketika menunggu hari cerah kala-kala subuh. Mungkin sewaktu menunggu angka giliran di pejabat pos. Atau mungkin ketika minum petang. Walaupun saya sungguhlah tidak minat membaca begitu. Saya suka membaca secara terus. Apabila berhenti, maka jahanamlah pembacaan saya itu.

Sungguhlah benar sikap saya begitu. Kerana itulah saya lebih menyenangi kumpulan puisi. Atau paling-paling panjang kumpulan cerpen. Lebih banyak kumpulan puisi dan kumpulan novel yang saya beli. Novel tidak sampai pun 30% kerana saya tahu tahap membaca saya bagaimana. Tetapi jika sesebuah novel itu bagus saya akan terus membacanya tanpa peduli dunia luar. Bukanlah saya kata novel-novel yang saya beli dan tidak terbaca itu tidak bagus. Cuma waktu untuk saya meneroka dunia fiksyen yang selalu luas dengan waktu yang kini terbatas-batas.

Memang. Ada juga novel yang saya beli mampu buat pembacaan saya melekat terus tanpa buat apa-apa selain makan, mandi dan buang air. ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, contohnya. Shahnon Ahmad memang dahsyat. Tetapi siapalah agaknya pengarang novel ‘Mona Gersang’ yang menjadi fenomena sepanjang zaman itu?

Friday, December 3, 2010

Entah Demi Apa

Kadang kala. Ada juga masa-masanya, saya mahu menulis hanya untuk diri sendiri. Dari huruf pertama hingga huruf yang terakhir – hanya untuk diri sendiri membacanya. Itu memang suatu perasaan yang sukar ertikan oleh siapa-siapa.


Tetapi begitulah juga selalunya. Jarang-jarang sungguh saya mencoret untuk manusia lain di sini. Atau untuk makhluk lain. Atau untuk benda lain. Untuk wang, contohnya.


Kalau saya kata: saya menulis demi Allah – kedengarannya amat membesarkan diri ini secara yang amat sangat pula. Walau pun itulah pun sewajibnya. Tetapi siapa yang tahu niat saya?


Demikianlah. Entah demi apa semua yang saya lakukan ini? Demi agama, bangsa dan negara? Lebih baik saya mengaku kerana mahu bayar bil dan makan nasi.


Saya pikir; saya hanya tulis semata-mata. Selebihnya Allah yang maha kreatif pula akan mengatur semuanya – apa juga penyudahnya.



Thursday, December 2, 2010

Kembali kepada sajak

Saya pikir kemahiran berbahasa saya tidaklah tinggi sangat. Itu saya akui bila saya kembali membaca sajak-sajak yang pernah saya tulis. Tulisan ada suatu retrospektif diri kepada si penulisnya juga – sama seperti hal-hal yang lain – yang sering mengembalikan kenangan juga.


Oleh yang demikian, sejak akhir-akhir ini saya berasa agak segan untuk membenarkan khalayak membaca sajak-sajak saya. Apa lagi mahu mengirim kepada penerbitan arus perdana. Mujurlah saya bukan pula jenis yang mahu melihat karya dan nama terpampang di majalah atau akhbar setiap hari.


Kalau ada sesiapa yang soal: sajak/puisi itu apa? Saya mungkin gagal menjawab dengan baik secara spontan. Saya tidak berminat untuk menurunkan pengertian yang dicipta oleh Coleridge, Elliot, Muhammad Hj Salleh atau Rohman Shaary pun di sini. Ia tidak menjadi masalah langsung kepada saya. Dan saya tidak mahu peduli semua itu.


Ya. Saya akan kembali kepada sajak sama seperti mula-mula dahulu. Bukan kerana saya gagal dalam genre lain, tetapi inilah satu-satunya genre yang membuat saya dekat kepada dunia sastera Malaysia yang riuh sahaja lebihnya ini.


Dahulu di Indonesia, selain puisi/sajak semua bentuk prosa tidak dianggap karya sastera.