Monday, September 22, 2008

Kadang-kadang Kita Memang Ada Rasa Tak Puas Hati

Hari ini hingar bingar orang cerita tentang keadilan. Kalau kita melepak di mana-mana – stesen bas ke, pekan sahari ke hatta ke majlis kenduri cukur jambul sekalipun, cuba-cubalah pasang telinga. Anda pasti terdengar perkataan keadilan.

Tapi tentang keadilan ini bukan cerita baru. Lama sejak zaman tori lagi manusia sudah sibuk-sibuk tentang keadilan. Tak ada yang pelik pun. Kalau orang sebut perkataan keadilan dalam mesyuarat JKKK tak ada pun orang akan juih-juih bibir atau pandang ke lain masa tu. Tapi kalau Tok Khatib sedang baca khutbah Jumaat anda jerit, “keadilan!” sampai 20 kali memang kalau tak kena penampar pun makmum lain akan senget-senget pandang anda.

Memang keadilan dan kesaksamaan harus dicari dan diletakkan di tempat yang betul. Tuhan itu sendiri pun Maha Adil sifatnya. Namun janganlah berharap sangat dengan keadilan manusia di dunia ini. Ia memang sukar untuk wujud. Malah tak akan pernah wujud secara mutlak. Mungkin ada. Tapi amat susah untuk ditegak dan dipelihara.

Anda tak percaya? Baiklah. Kita tunggu saja bila hampir tiba Hari Raya nanti. Masa tu memang ramai yang akan merasa dunia ini tidak adil. Malah mungkin kita juga antara manusia itu – yang bakal tertanya-tanya, terfikir-fikir atau tersuluh-suluh; di manakah keadilan dunia ini?

Entah-entah sekarang pun dah ada saudara mara kita yang rasa dunia ini memang tak adil langsung. Ye la, di saat-saat manusia lain ternganga-nganga menunggu bonus, kita tercangak-cangak cari alamat syarikat untuk hadir temuduga kerja. Kalau baru bergelar graduan tu tak apalah juga. Ini kalau setiap kali temuduga dapat sebiji bata, kumpul-kumpul dah boleh buat banglo apa cerita?

Bagi yang dah bekerja pula lain ceritanya. Orang lain pergi ofis boleh letak kaki atas meja. Guna jari sebatang saja tekan-tekan papan kekunci komputer. Silap-silap guna jari kaki saja, jari tangan kanan buat hisap rokok, tangan kiri korek-korek hidung. Tapi gaji tiga empat kali ganda kita. Yang kita pula dah la gaji ciput, jangan kata nak letak kaki atas meja, nak letak punggung atas tangga seminit saja dah kena kerah.

Itu di tempat kerja. Sekarang kita masuk ke rumah pula. Tak payahlah nak banding rumah kita dengan Datuk Yusuf Haslam pula. Banding dengan A Galak pun tak payah. Cari saja jiran sekampung. Nak mudah lagi jiran sebelah cukuplah. Lebih mudah. Mesti banyak yang kita mungkin tak puas hati. Jiran kita sibuk angkat sofa baru, kita sibuk angkut tikar mengkuang lama untuk basuh dan jemur. Jiran kita sibuk cat baru rumah dia, kita sibuk tampal-tampal dinding yang berlubang dengan surat khabar lama. Jiran kita sibuk gantung langsir baru, kita sibuk tutup pintu tingkap sebab tak sanggup nak tengok. Jadi di manakah keadilannya? Jawapan yang memuaskan mungkin tak ada. Namun cuba kita tanya dalam hati dan jawab sendiri. Tak perlulah tanya kuat-kuat. Nanti pelik pula orang lain.

Sebagai manusia biasa yang tak memahami konsekuensi dari setiap tindakan kita memang tak akan jumpa keadilan itu. Tapi pernahkah kita tanya, di masa-masa rakan sekerja kita tu berulang-alik ke perpustakaan ulangkaji pelajaran, kita berulang alik ke perpustakaan juga, tapi gunting buku dan curi buku. Dia saat orang lain sibuk kerja lebih masa, kita sibuk kerja lebih mulut. Di saat jiran kita sibuk melabur di tempat berfaedah, kita sibuk melebur ditempat tak berfaedah.

Tapi kalau kita bukan terdiri dari manusia yang tak sepertinya itu usahlah bersedih sangat juga. Kalau kita harapkan keadilan manusia dan dunia semata-mata memang susah nak jumpa. Tapi keadilan Tuhan itu tetap ada. Kasih sayang Tuhan tak terbatas. Kita teruskanlah kelangsungan hidup ini dengan rasa syukur.

Tentu saja Tuhan boleh jadikan semua manusia itu sama. Rupa dan tingkah laku sama. Sama-sesama samanya. Tak ada perbezaan hatta perbezaan jantina sekalipun. Boleh kalau Dia nak buat. Tapi tentu saja tak ‘seronok’!

Bayangkan kita semua sama. Lahir-lahir saja dah jadi raja. Kaya raya jangan cerita la. Beranak atas batu permata. Maklumlah raja katakan. Tapi tak pasal-pasal bapak kita yang bidankan kita. Ye la. Nenek kita pun permaisuri. Jiran kita pun raja. Hah, siapa nak jadi bidan?

Itu baru lahir. Dah banyak masalah. Belum lagi masuk tadika. Siapa la nak jadi cikgu tadika yang bergaji ciput tu. Nak makan nasi? Tak pasal-pasal kena tanam padi sendiri. Kalau sakit gigi cabut la sendiri. Tak adanya yang nak jadi doktor gigi dah.

Maka janganlah bersedih jika kita hanya penjual pisang goreng tepi jalan. Atau tukang sapu di lorong-lorong. Selagi kita tak engkar perintah Tuhan dan Rasul berbahagialah. Kita mungkin miskin harta tapi kaya jiwa. Kita mungkin dipandang mulia sangat tapi apalah ertinya pandangan dunia kalau Tuhan memalingkan wajah-Nya dari kita.

Mungkin kalau kita beria-ria sangat nak jadi Hakim kita akan jadi hakim yang senget sebelah. Kalau kita beria-ria sangat nak jadi Perdana menteri kita bakal jadi pemimpin yang korup. Kalau kita beria sangat nak jadi Model kita terpaksa jadi model seluar dalam.

Nah, bukankah di situ letaknya keagungan dan keadilan Tuhan yang menjadikan kita berbeza agama, bangsa, warna kulit dan bahasa. Miskin atau kaya, bersyukur dan peliharalah anugerah yang diberi-Nya tapi jangan pula menghina manusia lain pula. Semua adalah ujian dan tanggungjawab.

Tapi janganlah pula tiba-tiba sibuk-sibuk pergi buat sidang media canangkan satu dunia kita gembira nak mampus jadi orang miskin dengan pakai baju robak rabik tidur bawah jambatan. Memang nak kena gelak la tu kalau buat macam tu!

Friday, September 19, 2008

Papan Dam

Sekitar akhir 80an dahulu jiran sebelah rumah mak ada perniagaan kedai runcit. Di sebelah petang mereka jual Air Batu Campur, ais kepal, keropok, air kelapa dan lain-lain. Hampir setiap petang aku lepak di di situ. Lebih-lebih lagi tempat itu memang jadi tumpuan para kutu dan orang dewasa.

Aku bukanlah ingin makan minum sangat selalunya. Aku masih anak-anak sekolah rendah. Aku hanya ingin mendengar dan melihat gelagat manusia dewasa yang lepak di situ selain tumpang baca akhbar atau majalah secara percuma.

Tetapi paling menarik perhatian ialah terdapatnya sekeping papan dam haji. Memang setiap hari ada saja pemainnya. Tak kira masa. Lebih-lebih lagi sebelah petang selepas asar. Aku memang selalu ralit dan asyik dengan segala sorong tarik dan taktik permainannya. Walaupun tak serumit catur, tapi permainan dam haji ini juga ada seninya.

Sepatutnya permainan ini hanya satu lawan satu. Sama seperti catur. Tapi selalunya apabila terlalu ramai, ia bukan lagi satu lawan satu. Di belakang pemain A dan pemain B akan ada sahaja tukang-tukang fikirnya. Sehingga kadang-kadang buah yang di sorong itu bukan lagi hasil fikiran pemain itu lagi. Hanya jalan saja atas arahan manusia-manusia dibelakangnya. Ramai pula tu. Malah kadang-kadang sampai bergaduh-gaduh pula.

Benarlah kata Allahyarham T. Alias Taib – penyair yang selalu membuat aku terpegun dengan metafora-metaforanya yang segar, kehidupan ini memang tak ubah seperti papan dam. Aneh tapi itulah hakikat yang selalu kita jumpa tapi jarang kita renung. Lihatlah apa yang berlaku hari ini. Tafsirlah sendiri.

Papan Dam

papan dam itu
papan nasib

orang tidak jemu-jemu
bermain dengan buah dan petaknya
ada yang menyorong buah
dengan mudah
dan sukar dikalahkan
ada yang tersalah sorong
lantas menyerah
sebelum dikalahkan

papan dam itu
papan kehidupan

padanya orang tersimpul
dalam belitan takdir
dan terperangkap
dalam jerat keadaan
ada yang tertidur di meja mesyuarat
dan berjaga di malam pekat
ada yang sampai pada impian
ada yang terkulai dalam harapan

1987

Kumpulan Puisi ‘Piramid’
DBP 1990

Wednesday, September 10, 2008

Hattan Sepatutnya Sudah Lama Hijrah Ke Taiwan

Suara Hattan bukanlah citarasa terbaik aku. Suara Ito lebih memikat bila mengalunkan lagu-lagu yang bluesy. Tapi nama Hattan tetap memberi beberapa kesan percikan kepada kita di Malaysia ini. Beliau mampu buat kita tersenyum sinis.

Ketika memainkan lagu-lagu dari satu folder MP3 di lap top ku semalam entah kenapa lagu ‘Rendang Tak Berbuah’ nyanyian Hattan yang berkumandang terlebih dahulu. Tiba-tiba muka Jack tersengih. Jack ajak aku teman cari dan beli kaset Hattan bila kali pertama dengar lagu itu. Bila dapat berulang-ulang beliau mainkan di rumah. Sedap. Tapi itu 12 tahun dulu. Kami budak hingusan yang jadi buruh kontrak di KLIA yang kami sendiri tak pernah gunakan itu.

Beberapa tahun lepas Hattan tak lagi mengingatkan aku kepada Jack sangat. Hattan tiba-tiba jadi penyanyi Melayu yang sangat kurang ajar. Beliau harus di campak ke laut. Biar jadi santapan Jerung. Hattan adalah lambang rakyat derhaka. Cabut sekali taraf warganegara Malaysianya. Memalukan seluruh rakyat Malaysia.

Malah tak ada seorang pun pemimpin UMNO yang membela. Malah berebut-rebut mengutuk “pitching” Hattan yang katanya “ke laut”. Ironinya beliaut seorang penganut UMNO yang taat. Mungkin juga beliau sudah tua bangka dan Mat Rock sepertinya tak punya muka untuk kelihatan naïf. Beliau buka pelajar kolej di Taiwan. Secara kesimpulannya beliau memang derhaka dan kurang ajar.

Ah, rupanya Hattan tak sejantan mana. Beliau meminta maaf. Walaupun beliau memang dipihak yang benar. Dan semua tahu lagu ‘Negaraku’ nyanyian Hattan itu tidaklah sebabi lagu ‘Negarakuku’ yang dimodifikasi NAMEWEE budak Cina Malaysia yang belajar di Taiwan itu. Ia popular benar di You Tube.

Hattan silap. Beliau patut hijrah saja ke negara Taiwan. Di sana beliau boleh buat apa saja. Malah kalau beliau nak buat modifikasi lagu kebangsaan Negara barunya itu. Tentu akan ada Parti Melayu Negara itu yang akan bela Hattan. Silap haribulan parti pembangkang di Negara ini juga akan membela Hattan seperti mereka membela NAMEWEE atas alasan kebebasan berkarya!

KAHKAHKAH!

Monday, September 8, 2008

Apahal? Buta, Pekak dan Bisu Ke?

Setiap hari jika tak hujan, anak-anak jiran dekat rumah mak aku yang masih bersekolah rendah akan membising. Mereka bakar mercun macam di medan perang. Kalau hari cuti macam semalam lebih buruk. Dari pagi mereka dah membakar satu demi satu. Banyak benar duit mak bapak mereka.

Persoalannya; macamana benda-benda macam ni mudah sangat masuk ke Malaysia? Ia memang sentiasa ada. Dan aku tahu tempat menjual mercun di Jerantut ini. Tapi penjualan bahan itu hanya untuk golongan tertentu sahaja.

Beberapa tahun lalu, jika kami akses ke Hulu Tembeling melalui jalan balak, terutamanya waktu malam, kami wajib membawa mercun. Begitu juga pemandu-pemandu lori yang mengankut kayu-kayu balak. Malah orang-orang kampung yang diam di pedalaman itu juga wajib ke kebun getah bersama mercun.

Tujuannya? Jika kami berhenti untuk kencing dan suasa terlalu sunyi dan lain macam, kami akan bakar mercun tu terlebih dahulu. Tanda-tanda perlu di lihat. Jika tiada najis kerbau atau sebarang binatang. Suasana sunyi sepi. Atau riuh-riuh kera di atas Tualang. Siapa tahu ada Pak Belang menunggu? Bukankah ia satu kebaikan?

Tapi hari ini lain jadinya. Bila masuk Ramadan dan menyusul Syawal mercun kelam kabut di jual. Kedai runcit Melayu berhampiran rumah mak aku di Jengka pun sibuk jual walaupun sekadar untung sepuluh dua puluh sen. Berlambak-lambak. Jika menurut hukum permintaan ia bukanlah sesuatu yang ganjil. Tetapi bukankah mercun barangan larangan yang termaktub dibawah akta bahan letupan?

Tetapi ia menguntungkan juga bila tiba musim perayaan. Bagus la. Bakar la. Bakarlah saja-saja. Biarkan anak-anak membazir. Kita dulu pun macam tu juga. Jangan hentikan semua ini. Jadikan ia suatu tradisi. Lagi pun duit sendiri. Bukan duit tabung masjid.

Kaum lain pun nak hidup juga. Biarlah mereka buat duit. Kita kan tuan tanah yang mewah ini. Perlulah hidup bergembira. Setahun sekali bukan tiap-tiap hari!

p/s: Sedangkan orang asing mudah-mudah masuk jadi perompak, jadi Tuan, ini kan pula benda macam mercun, arak, rokok, senjata dan dadah. Biasa la kan?

Kepada saudara seagama di Kedah dan Pulau Pinang yang di uji dengan banjir sekarang ini bersabarlah. Semoga banjir cepat surut. Amin.

Saturday, September 6, 2008

Tak Ada Jalan Keluar?

Alangkah lucu. Aku sebenarnya sudah tidak minat melayan bajet sejak beberapa tahun ke belakangan inilah. Sebab ia macam tidak mendatangkan apa-apa sangat. Hari ini umum bajet, esok barang naik harga macam setan juga. Apalah yang aku tahu selain kerja, dapat gaji dan belanja untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Tiap saat kos sara hidup meningkat. Harga barang semakin mahal. Itu masalah global katanya. Negara kita makmur dan mewah. Tuhan Maha adil. Tentu ada yang jadi pemerintah. Ada yang perlu jadi tukang sapu. Masing-masing ada tugas. Semua itu ibadah. Namun kalau hanya golongan bawahan yang menjadi tapak piramid negara sahaja selalu tertindas teruk tentulah tak adil.

Perihal pemerintah mahu rakyat jimat cermat dan jaga kesihatan memang bagus. Maka kerajaan naikkan lagi cukai rokok. Itu tidak bagus. Yang untung bukan rakyat perokok. Pengeluar rokok pula tak rugi juga. Siapa yang rugi? Kerajaan juga. Penyeludup tambah kelam-kabut seludup rokok murah. Rasuah bersepah-sepah dipintu masuk.

Sepatutnya untuk menjaga poket dan kesihatan rakyat kerajaan sewajibnya haramkan terus rokok. Tutup kilang rokok. Tukar ladang tembakau jadi sawah padi atau kebun kelapa atau apa-apa sahaja. Begitu juga dengan arak yang memang nyata sudah haram. Mengapa ia tak dilakukan? Bukankah lebih mudah? Tak beranikah?

Sebab kerajaan tahu; itu juga yang datangkan untung. Rokok dan arak. Mereka ambil kesempatan di atas ketagihan perokok. Sama macam si miskin yang menagih harapan dan janji politikus saban hari, saban minggu, saban bulan, saban tahun dan saban zaman. Bukankah ini semua hanya permainan?