Monday, December 21, 2009

Tak ada motivasi

Kalau ditanya mengapa seseorang itu menulis, akan ada pelbagai jawaban. Dan perbezaan jawaban itu juga tentulah bukan sesuatu yang aneh. Ada yang menulis kerana mahu popular, wang, kepuasan dan ramai juga yang menulis kerana ibadah – kerana Allah semata-mata. Itu terpulanglah kepada niat masing-masing.

Bagi aku yang agak segan untuk mengaku sebagai penulis ini, agak sukar juga untuk mencari sebab musabab sebenar aku ini menulis. Manusia seputar aku bukanlah manusia penulis dan kadang-kadang aku rasa apa yang aku tulis semuanya entah apa-apa juga. Demi itulah agak sukar untuk aku memikirkan di mana kedudukan sebagai seorang manusia penulis ketika ini.

Sepanjang dua tiga tahun ini tidak banyak tulisan yang dapat aku hasilkan melainkan entri-entri di blog yang tak lebih dari cakaran kosong, herdikan dan carut marut yang terbit dari rasa marah-marah, tidak puas hati, ego dan penuh pendapat dangkal. Selebihnya aku menulis sajak yang tidaklah seberapa, dan adalah sekadar empat buah sajak yang terbit di akhbar. Hanya itulah sahaja.

Kenapa hanya sajak? Mana satu penyajak yang boleh jadi kaya?

Aku pun tidak tahu kenapa genre itu sahaja yang paling aku suka ketika ini. Ada yang kata sajak ini produk manusia pemalas. Sehari boleh tulis ratus-ratus sajak kalau mahu. Aku pun tidaklah marah kepada yang kata begitu. Kerana aku memang tidak mampu untuk buat macam itu walaupun aku perajin. Cuma aku sibuk kerja buat duit dan kejar dunia. Sebab itu sajak aku tak banyak mana pun. Katalah apa saja.

Tetapi beberapa hari ini aku mula terpikir, atau lebih tepat lagi tertanya-tanya; apakah motivasi yang aku perlukan supaya lebih rajin dan dapat menulis dengan baik? Kalau boleh mampu hasilkan novel atau skrip filem. Pada hal aku bencikan motivasi. Sangat benci membuat sesuatu kerana sesuatu.

Apa yang aku mahu? Baiklah. Biarlah mulai hari ini aku letak wang di depan. Sebab kalau untuk jadi terkenal aku ini pemalu orangnya. Dan kalau aku jawab aku menulis kerana ibadah, kerana Allah, bunyinya macam aku mahu tunjuk mulia sangat. Ya, wang, wang dan wang…

Sebenarnya sewaktu aku menulis, aku menjadi sehelai daun yang gugur dan jatuh ke sungai. Kemudian aku hanyut begitu saja ke muara atau segara atau ke mana saja. Kalau aku berhenti terus, berhentilah aku. Kalau aku jalan terus, jalanlah aku. Sehingga aku jadi debu dan tak wujud lagi selepas itu.

7 comments:

terrarosa said...

first !

Rahimin Idris said...

2nd!

terrarosa said...

motivasi itu bagi keh hanya istilah sahaja , mana mungkin kita sengaja mandi pagi - pagi kerana itu satu rutin, mesti ada daya atau sesuatu yang menggerakan hati dan kelakuan kita untuk mandi.

menulis di blog pula mesti ada tujuannya yang tertentu, apatah lagi blog tersebut buleh dibaca oleh semua orang...

tapikan, bila aok mula menjadi daun tu, aok perasan tak, ada semut yang tak tahu berenang nak tumpang aok ? dan ada juga katak yang perasan kurus cuba melompat atas aok ?

hik hik hik...

Perempuan Pemimpi said...

pemalu? wow. aum..

mulakan hari dengan senyom kambeng :) embek.

hafiz abdul said...

kata tuhan " tidak Aku jadikan manusia ini hanya untuk 'beribadah'kepada Ku".

tahniah kerana gaya penulisannya selamba dan jelas

Anonymous said...

"Sebenarnya sewaktu aku menulis, aku menjadi sehelai daun yang gugur dan jatuh ke sungai. Kemudian aku hanyut begitu saja ke muara atau segara atau ke mana saja. Kalau aku berhenti terus, berhentilah aku. Kalau aku jalan terus, jalanlah aku. Sehingga aku jadi debu dan tak wujud lagi selepas itu."

Itulah aku...pinjam kata2mu unuk berkongsi rasa. Entri yang menawan :)

Kak WL

Anonymous said...

'Pada hal aku bencikan motivasi. Sangat benci membuat sesuatu kerana sesuatu.'

~ 2009 was so last year. Today is Sunday, March 2010. You've motivated yourself in the morning after collecting empty bottles and even sang, "Bila Kaca menjadi Permata". That's a start.. :)