Wednesday, October 29, 2008

Berpulangnya Seorang Hero Gitar

Jiwa manusia punya tiga sudut penting dalam menghubungkan dirinya dengan alam. Dan alam adalah lambang kebesaran Allah. Pertama perasaan, kedua fikiran dan ketiga kemahuan. Apabila perasaan yang melebihi, seseorang itu akan menjadi seniman. Dan jika fikiran yang melebihi, filsuf yang akan lahir. Tetapi jika kemahuan (iradat) yang menonjol, maka orang itu akan jadi pemimpin bangsa, atau ahli agama yang membawa faham baru. (Prof. Hamka: 26, 2003).

Mari kita mendapkan fikiran dan kemahuan ke bawah seketika. Angkat tinggi-tinggi perasaan kadang-kadang tidak menjadikan kita kurang bijak juga. Kesedihan, kemarahan dan berontakan adakala jadi monumen perasaan yang sangat indah bila dibina oleh seorang seniman. Lebih-lebih lagi jika ia dipahat menggunakan intrumen yang bukan lagi berbentuk vokal – lukisan, arca, ukiran atau muzik barangkali.

Sebagai manusia yang pernah melintas zaman remaja; tinggal, membesar dan bergaul di kalangan working class – muzik rock selalu jadi pengubat jiwa manusia yang tak pernah fikirkan masa depan seperti aku. Mengusung gitar tong ke hulu ke hilir, berpakain macam rockstar, jamming atau buatlah apa saja ‘janji rock’. Khutbah agama atau tazkirah ada kala lebih menjauhkan aku dari agama sahaja.

Awal 90an adalah era muzik grunge. Aku antara Generasi-X yang rata-ratanya seperti mahu menyembah Kurt Cobain sahaja. Zaman shredder atau guitar hero mula pudar. Malah lebih hina ada yang berkata ‘shred is dead’. Sudah jadi dinosaur. Kebanyakan lagu-lagu rock hanya penuh dengan riff-riff gitar tiga kord sahaja. Kalau ada solo pun macam main-main sahaja. Nirvana semacam mengambus terus zaman shredder.

Entah mengapa aku suka benar dengan gitar solo – termasuklah surf, blues mahu pun jazz. Nama-nama seperti Dick Dale, Jimi Hendrix, Malmsteen, Ritchie Blackmore, Gary Moore, Santana, Slash dan lain-lain hero gitar selalu membuat aku kagum. Kadang-kadang aku lebih menghafal bunyi gitar solo dan lirik vokal tak lebih sekadar penyendal sesebuah lagu. Begitulah uniknya gitar solo bagi aku.

Di Malaysia ada beratus, malah beribu mungkin gitaris. Tetapi tidak ramai hero gitar yang mampu menghasilkan solo-solo yang malar segar seperti Kid, Hillary Ang, Awang BPR, Opie Bloodshed, Abu MAY, Shahrul Ekamatra dan lain-lain gitaris zaman Rock Kapak 80an dan awal 90an dahulu. Solo-solo mereka sudah sampai ke tahap seperti boleh bercakap bagi aku. Dan sudah sudah tentulah kombinasi Man Keedal dan Allahyarham Samad dari Lefthanded tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Dengarkan ‘Kenangan Bersamamu’, ‘Debunga Wangi’, ‘Semangat Lamina’, ‘Lagenda Cinta’ dan apa juga lagu mereka – gitar sololah yang selalu menjadi latar depan. Mungkin harmoni guitar mereka tidak tersohor Marty Friedman dan Jason Becker dari Cacophony yang sangat-sangat guitar oriented itu, tetapi Lefthanded antara garisan paling tebal dalam lakaran Muzik Rock Malaysia. Dan Allahyarham Samad bagai garis halus yang menyempunakan keindahannya.

Jumaat lalu kita telah pun kehilangan Samad Lefthanded. Itu bukan urusan makhluk. Namun untuk sebuah perjalanan hidup yang tidak panjang, bukan seperti seorang politikus, Allahyarham telah meninggalkan suara perasaannya – yang jauh lebih jujur ketika menjentik kesunyian audien dengan petikan-petikan gitarnya. Ia rakaman suara hati seorang manusia yang ikhlas. Tuhan tahu tentang itu. Bukankah manusia yang baik lebih disayang Tuhan? Moga setiap budi dan bakti Allahyarham akan jadi sinar peneman di sisi-Nya. Allahyarham suatu lagenda dalam kelas tersendiri.

AL-FATIHAH.




SATU TIDUR PANJANG
Ramli Sarip/Bob Lokman

Di sini kita bersama
Di tanah lapang penuh cinta
Di sana aku menangis
Setelah engkau pergi

Mentari sampaikan cahaya
Pada kasih yang tertidur
Panjang
Setiap yang pergi itu
Pastikan ku turuti

Tenanglah kau di sana
Menanti pasti pulangku
Andai jujur cinta semalam
Bertemu lagi di tanah ini

Kematian hanya tidur panjang
Yang penuh dengan soalan
Semoga kejujuran cinta ini
Jadi keredaan Tuhan

Sesungguh rasa hatiku ini
Setiap cinta hanya kernamu
Restukan kasih suci ini
Tuhan…

Mentari di ufuk barat
Menambah tua hari ini
Setiap musim yang berganti
Akhirnyakan berhenti di sini

4 comments:

fadzil hafiz said...

al-fatihah...

Wardrobe kita said...

Al-Fatihah..

Qaseh terlewat untuk merasa smua tu..hebat Bang Min,hebat..

yoshz said...

lefthanded best.band dulu2 banyak best.aku paling suka black rose. tapi kaset dah masuk habuk. skarang aku tak tau nak dengar band local apa dah. bila dengar lagu omputih cakap tak patriotik. gi mampos la! aku punya duit.

Anonymous said...

Kalau dulu..zaman kita rock dulu. Lapan puluhan.

Kita lebih kenal lead guitarist satu satu band berbanding vokalis.

Semasa munculnya Hillary, Man Keedal, Opie Bloodshed...siap boleh bergaduh mempertahankan kehebatan gitaris pujaan.

Filem Mamat Khalid..'Rock' memang betul-betul menggambarkan kehidupan dan matlamat kita masa itu.